BANGI, 6 Julai – Buat julung kalinya, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan menganjurkan Mega Karnival 3 Dimensi, sebuah platform berskala besar yang menghimpunkan tiga program utama negara secara serentak.
Karnival mega ini bakal menggabungkan Hari Peneroka FELDA (HPF), Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di bawah satu bumbung.
Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti) FELDA, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, penganjuran kali ini turut dijayakan dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Program mega ini bertujuan menyatukan komuniti luar bandar serta memperkukuh jaringan ekonomi tempatan.
“Ini adalah ruang untuk kita merancang strategi baharu, memperbaharui nilai tambah serta mendunia usaha keusahawanan tempatan. Banyak peluang akan diketengahkan sepanjang lima hari penganjuran,” katanya.
Antara pengisian menarik sepanjang karnival termasuk pameran, jualan produk tempatan, seminar keusahawanan, serta persembahan kebudayaan yang menyemarakkan semangat komuniti dan inovasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir untuk merasmikan program tersebut.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara Mega Karnival 3 Dimensi akan berlangsung dari 30 Julai hingga 3 Ogos ini, bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.