(Sidang media PAS Johor di Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 2 November- PAS, bawah bendera Perikatan Nasional (PN), akan bertanding empat kerusi Parlimen di Johor, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata, kerusi terlibat, P155 Tenggara, P147 Parit Sulong, P146 Muar, dan P149 Sri Gading.
Parlimen Tenggara akan diwakili Leftenan Kolonel Bersara Mohd Nazari Mokthar, manakala Sri Gading diwakili Zanariyah Abdul Hamid, Parit Sulong, Dr Abdul Karim Deraman, dan Muar diwakili Abdullah Hussin sendiri.
PAS Johor juga akur dengan keputusan pucuk pimpinan PN, memberikan hanya empat daripada 26 kerusi parlimen kepada parti, kerana pemilihan telah melalui proses rundingan secara mendalam.
"Jadi kalau ditanya, kita reda, kita terima keputusan daripada pucuk pimpinan ketiga – tiga parti dan yang paling penting, iltizam kita, komitmen kita, jadi kita nak 'all out'dalam keempat – empat kawasan parlimen yang kita bertanding,"kata Abdullah Husin, Pesuruhjaya Pas Johor.
Katanya, golongan muda, pengundi automatik dan pengundi pertama kali, akan menjadi sasaran PAS Johor, bagi meraih sokongan, selain memaksimakan penggunaan media sosial semasa berkempen.
PAS Johor juga ujarnya tidak gentar berdepan calon golongan muda daripada parti lain, kerana yakin pengundi akan menilai sudut pengalaman, kewibawaan, intergiti dan kepimpinan, semasa memilih calon.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Johor Bahru.
(Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin)