KUALA LUMPUR, 4 Julai- Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pekerja gig akan dibaca buat julung kali di Parlimen pada sidang Oktober hingga Disember ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, langkah itu bagi melindungi hak 1.16 juta pekerja gig, dengan tumpuan adalah memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.
Jelasnya, setakat ini, hanya 250,000 pekerja gig yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"RUU tersebut tidak hanya meliputi pekerja e-hailing dan p-hailing tetapi meliputi pekerja separa masa dan separa profesional mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).
"Perkara ini akan dapat dilakukan dalam tempoh dua bulan atau 50 hari dari sekarang," jelas Ahmad Zahid pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) di sini.
Beliau turut menyatakan bahawa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan membentangkan kertas kabinet dan memorandum kepada Jemaah Menteri dua minggu dari sekarang bagi pewujudan akta dan juga beberapa aspek ekonomi gig tersebut secara holistik.
"Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) akan mengadakan persidangan mengenai perkara itu tahun hadapan. Justeru, Malaysia melalui KESUMA bertindak proaktif melaksanakannya lebih awal.," kata Timbalan Perdana Menteri.
Menurutnya komitmen kerajaan akan diterjemahkan dengan keterlibatan 19 kementerian, jabatan dan agensi bagi menyokong pelaksanaannya.
Sidang media tersebut turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Pada mesyuarat itu turut diputuskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig secara formal yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan lagi.
Penubuhan suruhanjaya itu bagi membuktikan komitmen kerajaan membela nasib penggiat ekonomi gig, khususnya dalam aspek pendapatan dan kebajikan.
Jelasnya, ia adalah satu langkah yang dilakukan oleh kerajaan kerana terdapat hanya beberapa negara sahaja di dunia yang telah melaksanakan soal akta ataupun suruhanjaya tersebut. Negara-negara itu antaranya Amerika Syarikat di California dan India serta beberapa negara lain.
"Kerajaan bertindak proaktif dengan penubuhan SEGiM dan ia diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri," jelas Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Penubuhan rasmi SEGiM itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) lalu bagi melihat ia diwujudkan.