fb fb fb fb fb

Bahas LKAN, bukti ketelusan kerajaan dalam pentadbiran

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 Julai-Langkah untuk membahas Laporan Ketua Audit pada persidangan Dewan Rakyat, minggu hadapan membuktikan keseriusan kerajaan mengutamakan ketelusan dalam pentadbiran.

Ruang perbahasan itu juga membuka peluang untuk kedua dua pihak menjalankan proses semak dan imbang secara komprehensif bagi menyelesaikan isu secara lebih berkesan.

Beberapa Ahli Parlimen yang ditemui RTM menyifatkan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebagai sebahagian daripada reformasi Parlimen yang diperjuangkan sebelum ini.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata Perbahasan LKAN perlu dilihat sebagai usaha bagi memperkasakan Dewan Rakyat.

"Semua ini harus dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk pertamanya memperkasakan Dewan Rakyat itu sendiri dan kedua untuk memastikan bahawa terdapat pemantauan, terdapatnya semak dan imbang serta kepatuhan kepada tata kelola yang baik dan undang-undang, juga peraturan dalam kerajaan termasuk agensi serta jabatan", kata Syahredzan.

Bagi Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail pula melihat perbahasan LKAN adalah sesuatu yang positif memandangkan maklumat yang didapati daripada perbahasan berkenaan akan menjadi maklumat dan rujukan rakyat.

"Perbahasan di parlimen bagus. Kita boleh dapat banyak pandangan sama ada, kerjaan dan pembangkang (wakil rakyat). Saya mengalu-alukan supaya laporan itu dibahaskan dalam parlimen. Ini saya rasa daya usaha yang positif dan akan memberikan maklumat kepada rakyat yang menonton perbahasan ini," ujar Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menganggap perbahasan LKAN sesuatu yang berguna buat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam melakukan analisis dan siasatan.

"Laporan Ketua Audit Negara ini dibahaskan satu perkara yang baik dan daripada itu juga apabila dibahaskan, jadi PAC juga boleh mendengar perbahasan oleh Yang Berhormat mengikut perspektif, juga pandangan mereka yang mana perkara-perkara ini juga mungkin boleh diambil kira sewaktu dalam pemilihan tajuk-tajuk yang boleh kita ambil untuk kita lakukan siasatan ataupun prosedur nanti," jelasnya di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD