PUTRAJAYA, 24 September- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan berhubung dengan 34 rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) esok.
Beliau berkata, kumpulan tersebut adalah sebahagian daripada aktivis dari 44 negara yang kini sedang menghampiri perairan Gaza.
“Tadi mereka berada kira-kira 750 batu nautika dari Gaza dan malam tadi, mereka diserang dengan dron.
Mereka memang sudah bersedia menghadapi perkara itu dan kita harap mereka cekal berdepan apa juga ancaman daripada pihak Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran IkonDesa di sini, hari ini.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut menyatakan keyakinan terhadap perjuangan kumpulan terbabit dalam menjayakan misi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Sebelum ini, media melaporkan flotila tersebut berdepan cubaan gangguan ketika pelayaran menuju perairan Gaza dengan membawa bekalan bantuan untuk rakyat Palestin.