fb fb fb fb fb

Pantau premis perniagaan bagi kawal kes denggi

(FOTO RTM)

BATU BERENDAM, 12 Julai - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka diseru untuk melakukan pemeriksaan di setiap premis perniagaan di negeri itu bagi mengawal
peningkatan kes demam denggi.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia Dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata ini termasuk mengadakan gotong royong perdana bagi memberikan kesedaran kepada rakyat.

"Kerajaan negeri akan adakan gotong-royong Perdana. Setiap PBT sudah merancang bagi adakan di kawasan masing-masing.

"Ini merupakan mesej kesedaran buat rakyat di negeri ini bahawa kebersihan sesuatu yang penting", katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sini.

Terdahulu, kes demam denggi di Melaka menunjukkan peningkatan mendadak kepada lebih 101 peratus dengan 526 kes direkodkan sehingga Julai berbanding 261 kes yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Hee Sem turut berkata kes kemalangan industri di negeri berkenaan telah mencatatkan penurunan. Ini dibuktikan menerusi statistik kemalangan yang menurun sebanyak 50
peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tahun lalu.

Menurutnya lagi, sehingga bulan lalu, sebanyak 214 kes kemalangan di sektor industri telah direkodkan.

Daripada jumlah itu,  terdapat hanya satu kematian dan empat kes hilang upaya kekal (HUK). Manakala selebihnya disifatkan kemalangan yang tanpa hilang upaya kekal (THUK)


(Exco Kesihatan, Sumber Manusia Dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem)

Media Baharu