fb fb fb fb fb

3,834 penduduk di enam negeri masih terjejas banjir

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Seramai 3,834 penduduk daripada 1,170 keluarga terjejas akibat banjir di enam negeri setakat pada pukul 10.21 pagi tadi.

Enam negeri yang terkesan dengan banjir adalah Pahang, Perak, Kedah, Selangor, Perlis, dan Melaka.

Menerusi kemas kini Info Bencana JKM, angka tertinggi melibatkan Pahang dengan 1,666 orang daripada 504 keluarga yang kini berlindung di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Banjir tersebut hanya melibatkan daerah Temerloh.

Antara PPS yang terlibat termasuk PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan, Sekolah Kebangsaan (SK) Bakti, dan SK Bukit Cermin.

Di Perak, seramai 1,470 penduduk terjejas daripada 467 keluarga kini berlindung di 11 PPS.

Ia melibatkan lima daerah, iaitu Kuala Kangsar, Hilir Perak, Perak Tengah, Kampar, dan Kerian.

"Daerah Kuala Kangsar mencatatkan penduduk paling tinggi terjejas banjir dengan 903 orang daripada 282 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS.

"Ia diikuti oleh Hilir Perak dengan 254 penduduk terjejas, manakala Perak Tengah melibatkan 208 orang," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, di Kedah, seramai 632 penduduk daripada 180 keluarga terjejas akibat banjir.

Banjir berkenaan menjejaskan daerah Pendang dan Kota Setar.

"Pendang menempatkan 299 penduduk terjejas banjir. Kota Setar pula  seramai 231 orang yang terjejas," menurut Info Bencana JKM.

Di Selangor, hanya 33 penduduk daripada sembilan keluarga terjejas akibat banjir.

Dua PPS dibuka di Selangor setakat ini, iaitu PPS Dewan Hala Cara Baru Sungai Panjang yang menempatkan 33 penduduk terjejas.

PPS SK Binjai Jaya pula tidak mencatatkan sebarang perpindahan penduduk setakat berita ini ditulis.

Perlis menempatkan 21 penduduk terjejas banjir daripada tujuh keluarga.

Melaka pula mencatatkan 12 orang daripada tiga keluarga yang dipindahkan di PPS setakat ini.

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM