fb fb fb fb fb

Paras air Pantai Seri Sentosa catat bacaan tinggi

Fenomena air pasang besar yang melanda Selangor memasuki hari kedua / Foto RTM

SEKINCHAN, 18 Oktober- Fenomena air pasang besar yang melanda Selangor memasuki hari kedua dengan paras air di Pantai Seri Sentosa, Parit 5, Sekinchan mencatatkan bacaan setinggi 5.8 meter setakat pada pukul 6.00 pagi tadi.

Menurut Ketua Bomba Zon 7, Shamsol Maarif Saibani, sebuah ban di kawasan tersebut dilaporkan pecah petang semalam akibat tekanan air yang melimpah ke kawasan parit kampung, yang berpotensi menyebabkan risiko banjir.

"Seperti yang kita dapat lihat pada hari ini, tepat pada pukul 4.30 hingga 5.00 pagi, air sudah naik dan melepasi ban. Dianggarkan, air yang melimpah sejauh 100 meter," katanya kepada pemberita di sini.

Penduduk di kawasan terjejas turut mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan situasi luar jangka.

"Kami pasti tempat ini akan menjadi satu punca air laut masuk, jadi kami berbincang cara untuk mengurangkan kemasukan air dan mengambil inisiatif mengisi pasir dalam guni dan meletakkannya di ban yang pecah," kata penduduk, Azman Maseri.

Susulan fenomena air pasang besar yang dijangka berterusan sehingga Ahad ini, pasukan bomba terus melakukan pemantauan di lokasi-lokasi berisiko, termasuk Ban Sungai Lang, Waterfront Bagan Nakhoda Omar, Pantai Seri Sentosa, dan Bagan Pasir.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM