fb fb fb fb fb

Pandemik COVID-19 satukan masyarakat dan mengubah pemikiran manusia melihat kedepan

SINTOK, 15 Mac - Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia telah mengorbankan banyak jiwa sekali gus memberi impak besar ke atas ekonomi, sosial dan politik.

Naib Canselor Universti Utara Malaysia (UUM) Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, di sebalik krisis tersebut terdapat pelbagai iktibar dan hikmah yang dapat dijadikan sebagai pengajaran dalam kehidupan.

Menurutnya, pandemik itu juga telah menyatukan masyarakat di Malaysia tanpa mengira pegangan politik, bangsa, mahupun agama selain mengubah cara manusia melihat masa hadapan khususnya budaya, persekitaran dan bakat .

“Justeru graduan perlu menerokai dan menguasai ilmu serta kemahiran baharu yang bukan terhad kepada ilmu dan kemahiran yang diajar di universiti sahaja bahkan berfikir diluar kotak.

“Ujian ini dapat menjadikan warga UUM lebih berdaya tahan, adaptif, lebih matang dan bersedia menghadapi krisis lain pada masa hadapan,” katanya di sini. 

Beliau berkata, kebergantungan pada teknologi baharu berasaskan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) menyebabkan banyak peluang pekerjaan yang dilakukan oleh mesin berkepintaran buatan.

Menurutnya, pandemik itu secara tidak langsung telah membuka ruang kepada graduan untuk mempelajari dan menerokai ilmu serta kemahiran baharu secara dalam talian, sepanjang hayat, tanpa mengira tempat dan masa.

(Dr. Haim berucap pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM di Dewan Mu’adzam Shah)

Katanya lagi, Laporan Forum Ekonomi Dunia menunjukkan bahawa pembelajaran sepanjang hayat sememangnya semakin penting tetapi COVID-19 secara khususnya menjadi pemangkin kepada e-pembelajaran sepanjang hayat iaitu pembelajaran dalam talian.

“Dalam era pasca pandemik, penguasaan ilmu dan kemahiran insaniah (soft skills) seharusnya ditingkatkan selaras dengan penguasaan kemahiran teknikal (hard skills).

“Graduan juga merupakan pemimpin masa depan, oleh itu, anda mesti memiliki daya tahan yang jitu terutamanya ketika mengharungi ketidakpastian demi menentukan destinasi,” katanya.

Selain itu Dr. Haim berkata, UUM merupakan satu-satunya Pusat Penilaian APEL (Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Terdahulu) di kawasan Utara, justeru beliau mengajak seluruh masyarakat yang tidak memiliki kelayakan ijazah tetapi mempunyai pengalaman bekerja untuk mengikuti penilaian APEL.

Menurutnya, APEL ialah proses verifikasi pencapaian seseorang individu bagi satu set hasil pembelajaran yang diperoleh melalui pembelajaran formal, bukan formal dan tidak formal tanpa mengambil kira masa dan tempat.

“Tujuan utama pensijilan APEL adalah untuk memberi peluang kepada individu yang tidak dapat mengikuti pendidikan yang lebih tinggi pada awalnya disebabkan kekangan kelayakan akademik, ekonomi atau faktor lain yang mungkin menghalang seseorang untuk meneruskan pengajian terdahulu.

“UUM merupakan Pusat Penilaian APEL sejak 2018 dan telah menerima akreditasi semula tahun ini oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan PPA ini dikendalikan oleh Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE),” katanya.

Pada sesi kedua ini seramai 353 graduan menerima ijazah masing-masing yang disampaikan oleh Naib Canselor.

Media Baharu