GEORGE TOWN, 9 November - Pertukaran idea, seni serta budaya Malaysia dan Thailand dapat diwujudkan menerusi Pameran Seni Dialog Estetika yang berlangsung di Balai Seni Lukis, Pulau Pinang.
Secara tidak langsung memperkasa hubungan baik dua negara menerusi penampilan 12 pelukis dari negara 'gajah putih' itu.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata lebih 60 buah lukisan dipamer secara percuma.
Selain itu, pengunjung berpeluang mempelajari kaedah dan teknik yang digunakan artis negara tersebut dalam menghasilkan karya.
"Persahabatan antara Malaysia dan Thailand, disebabkan Pulau Pinang di sebelah utara semenanjung dekat dengan Thailand. Ini merupakan satu peluang pertukaran idea tentang kesenian dan kebudayaan antara kedua-dua negara," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pameran Dialog Astetika 12 Artis Thai di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Konsul Jeneral Konsulat Jeneral Diraja Thailand, Suratchaya Palawongse melihat pameran itu sebagai satu bentuk platform diplomasi budaya.
Ini sekaligus mampu memperkasa pemahaman budaya antara kedua-dua negara.
"Seperti yang dah saya nyatakan, seni ini merupakan platform diplomasi dalam bentuk diplomasi budaya bagi mempromosikan pemahaman budaya antara Thailand dan Pulau Pinang termasuk Malaysia. Ia juga platform untuk lebih memperkasakan pemahaman antara kedua-dua negara," katanya.
Pameran tersebut berlangsung bermula hari ini hingga 24 November depan.