fb fb fb fb fb

GSSK: MOTAC salur lebih RM900,000 kepada 14 Persatuan seni Kedah

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff / Foto RTM

ALOR SETAR, 9 November-Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyalurkan peruntukan sebanyak RM970,000 Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) kepada 14 persatuan seni bagi melaksanakan aktiviti seni dan budaya di Kedah.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, geran itu bertujuan menyokong usaha memelihara seni dan budaya selain merancakkan program serta aktiviti kesenian sempena Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Peruntukan itu adalah peruntukkan yang kita sudah beri untuk tahun depan masih ada peruntukkan untuk tahun 2025.

"Jadi, kita nak galakkan semua NGO dan badan seni khususnya untuk negeri Kedah", katanya demikian ketika  pada Majlis Perasmian Program Temasya Oghang Kedah (TOK) 2024 di perkarangan Stadium Darul Aman di sini.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah Datuk Salleh Saidin.

Tambah Mohd Yusri, selain itu sebanyak RM86,600 turut disalurkan kepada sembilan persatuan seni di negeri itu menerusi bantuan Insentif Seni Kewangan, melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Turut disalurkan RM1.06 juta   kepada lima persatuan seni dan budaya di bawah peruntukan Bantuan Jawatankuasa Pemberian Bantuan Kerajaan (JPBK).

TOK 2024 yang bermula sejak Khamis hingga esok menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung termasuk pameran tanjak negeri Kedah, demontrasi masakan Kedah, permainan tradisional dan pertandingan Lenggok Oghang Kedah.

Program itu turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBR) untuk Pengiring Tetamu Kehormat Teramai yang menghimpunkan  1,931 orang pesilat dari pelbagai perguruan dan persembahan Tarian Tradisional Inang Ghenek oleh 30 penari cilik serta persembahan muzik tradisional pelbagai kaum yang digabungkan dalam satu rentak irama.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD