fb fb fb fb fb

Lembaga Pelabuhan Labuan kekal sebagai Pelabuhan Persekutuan-Anthony Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook / Foto RTM

LABUAN, 9 November-Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) kekal menjadi Pelabuhan Persekutuan dan akan beroperasi secara langsung di bawah Akta Pelabuhan Persekutuan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata ia berikutan keputusan Kerajaan Sarawak yang akan mengambilalih semula Lembaga Pelabuhan Bintulu yang sebelum ini mengendalikan Lembaga Pelabuhan Labuan.

Jelas beliau, Lembaga Pelabuhan Bintulu akan diambil alih oleh kerajaan negeri Sarawak sebaik sahaja proses pemindahan selesai dilakukan.

"Jadi Lembaga Pelabuhan Labuan ini akan terus di bawah Kementerian Pengangkutan dan kekal sebagai Pelabuhan Persekutuan sebab sebelum ini pengurusannya bawah Lembaga Pelabuhan Labuan.

"Jadi apabila Lembaga Pelabuhan diserahkan kepada Kerajaan Sarawak, dia akan di bawah Sarawak.

"Tapi Labuan ini tidak ikut Bintulu. Labuan ini kekal sebagai Pelabuhan Persekutuan. Jadi apabila kita akan letak Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) di bawah Akta Pelabuhan Persekutuan", katanya demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Jom Gegar Labuan di perkarangan plaza berpayung, Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Tambah beliau, pihak MOT akan melantik seorang pengurus besar untuk mengurus tadbir lembaga pelabuhan berkenaan.

Sementara itu, Loke berkata pihaknya menyambut baik inisiatif pengendali operator Pelabuhan Labuan, Megah Port Management (MPM) Sdn Bhd dalam usaha menjadikan pelabuhan itu lebih kompetitif dalam memberikan perkhidmatan yang lebih cekap.

Jelas beliau, pihak pengendali operasi itu telah melabur RM25 juta bagi menaiktaraf kemudahan dan fasiliti pelabuhan berkenaan.

Ini bagi meningkatkan operasinya dalam mengendalikan kargo pelabuhan itu sejak tahun 2020 serta mengukuhkan peranannya sebagai pintu masuk ekonomi di wilayah ini.

“Memang pelabuhan Labuan ini akan mendapat perhatian serius daripada Kementerian Pengangkutan di mana kita harap ia dapat dijadikan sebuah satu pelabuhan yang dinamik yang sibuk dan dapat menjana pertumbuhan ekonomi di Labuan”, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Labuan.

Sementara itu, pengoperasian kira-kira 24 jam seminggu dalam mengendalikan kargo pelabuhan meningkatkan lagi kemajuan produktiviti.

Oleh itu, beliau mencadangkan tempoh konsesi yang lebih panjang mungkin diperlukan untuk menyokong pelaburan infrastruktur yang besar.

Ini kerana operator pelabuhan pada ketika ini beroperasi dengan kontrak pengurusan selama enam tahun.

Untuk itu, beliau akan membawa perkara itu kepada mesyuarat kabinet bagi menambahbaik konsesi kontrak berkenaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD