fb fb fb fb fb

Cakna digital: Tingkatkan ilmu bagi tangani ancaman siber- Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof /Foto Facebook Fadillah Yusof

BETONG, 9 November-Masyarakat perlu peka dan meningkatkan ilmu dalam bidang digital bagi menangani cabaran teknologi baharu yang semakin berkembang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tanpa pengetahuan dan kemahiran mencukupi masyarakat berisiko menjadi mangsa ancaman siber seperti kes penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.

Katanya, negara mengalami kerugian berbilion ringgit setiap tahun akibat kegiatan penipuan menerusi platform digital apabila individu tidak bertanggungjawab semakin licik memanfaatkan teknologi baharu memperdaya mangsa.

"Sebab itulah saya mengharapkan terutamanya di peringkat negeri Sarawak kita kena uar-uarkan, kena asuh masyarakat kita.

"Pertama untuk menggunakan teknologi baharu tapi pada masa yang sama kena mempunyai ilmu dan kemahiran bagaimana kita hendak mengamalkan teknologi baharu ini secara selamat", katanya demikian pada pelancaran program “Masyarakat Tanpa Tunai” di Pusat Penjaja Kabong di sini.

Program tersebut merupakan kolaborasi strategik Bank Simpanan Nasional (BSN) bersama Pejabat Daerah Kabong dalam memperkasa masyarakat ke arah penggunaan teknologi untuk pengurusan kewangan yang cekap, mudah serta pantas.

Sementara itu, Komuniti yang menerima dana Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) diingatkan untuk memastikan program berkenaan dilaksana dengan baik agar benar-benar dapat merancakkan ekonomi setempat.

Beliau berkata pelaksanaan yang baik akan memberi kesan langsung kepada komuniti terutama dalam meningkatkan pendapatan penduduk terlibat.

"Lebih penting adalah kesejahteraan rakyat yang difokuskan oleh kerajaan kita baik di peringkat Persekutuan apatah lagi di peringkat Negeri.

"Jadi, saya kira yang perlu dilaksanakan secara bersama oleh kita diantara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Sarawak disambut baik oleh masyarakat kita.

"Insya-Allah hasrat kita menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur dan rakyatnya hidup dalam keadaan yang sejahtera", katanya.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD