fb fb fb fb fb

PAM tawar jualan produk pada harga istimewa, bantu golongan B40 pasarkan produk

BATU MAUNG, 2 Februari- Karnival Penang Agro Market (PAM) menawarkan jualan produk pertanian dan bukan pertanian pada harga istimewa.

Selain itu, objektif karnival berkenaan turut membantu memasarkan produk usahawan kecil sekali gus membantu golongan B40.

Menurut Pengarah FAMA Pulau Pinang, Mohd Azraie Ramli, sebanyak RM15,000 ke RM20,000 disasarkan sepanjang enam jam jualan itu berlangsung.

Ia melibatkan sehingga 50 peserta yang terdiri dari usahawan sekitar negeri tersebut.

"Kita ada meletakkan sasaran pencapaian, jumlah jualannya sekitar RM15,000 ke RM20,00 setiap kali berlangsungnya program yang mengambil masa empat hingga enam jam sehari," kata Mohd Azraie kepada pemberita RTM, di sini.

Sementara itu, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Datuk Abdul Halim Hussain berkata kawasan strategik dengan kepadatan penduduk daripada golongan B40, kilang dan masjid antara yang menjadi lokasi program itu berlangsung.

"Ini adalah inisiatif untuk mengurangkan beban kos sara hidup dan kita tumpukan di kawasan B40. Jadi, dua kumpulan dapat manfaat, satu kumpulan B40 di kawasan ni, satu lagi bawa barangan usahawan muda dan tempatan untuk dipasarkan terus dari ladang," kata Abdul Halim kepada pemberita RTM ketika ditemu bual.


(Pengarah FAMA Pulau Pinang, Mohd Azraie Ramli (kanan) dan Exco Perdagangan, Industri dan
Pembangunan Usahawan, Datuk Abdul Halim Hussain (kiri))

Pengunjung, Mohd Asyraf Jamaluddin dan Ajwarrie Alias turut mengharapkan program seperti itu dijalankan secara harian.

"Inisiatif ini sangat membantu. Kalau diadakan hari-hari pun bagus juga, dapat kami belanja cari bekalan makanan. Harga pun lebih murah," kata Mohd Asyraf.

"Banyak membantulah inisiatif ini. Selalu RM18.00 , sekarang dah jadi RM13.00. B40 memerlukan bantuan sebegini,"

Antara produk yang dijual di Tapak Pasar Malam Permatang Damar Laut, Batu Maung adalah ikan, ayam, sayur-sayuran, telur dan minyak masak pada harga istimewa.

Media Baharu