BUTTERWORTH, 14 Februari - Mahkamah Butterworth menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,500 terhadap lima individu termasuk pasangan suami isteri selepas didapati bersalah menggunakan sijil cuti sakit palsu Hospital Pulau Pinang (HPP), empat tahun lalu.
Kesemua mereka yang berusia antara 27 hingga 43 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan mereka masing-masing didakwa antara dua hingga empat pertuduhan.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza di George Town dan Bayan Lepas iaitu tempat bekerja masing-masing antara 24 Januari hingga 6 Oktober 2020.
Kelima-lima mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkifli manakala kelima-lima tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.