KLANG, 14 Februari- Proses bedah siasat dua mangsa nahas pesawat ringan di Kampung Tok Muda, Kapar selesai pukul 12.15 tengah hari tadi di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Hasil bedah siasat itu mendapati kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat 'pelbagai kecederaan akibat nahas pesawat'.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, proses bedah siasat bermula pukul 10.00 pagi dan mengambil masa lebih dua jam.
"Hasil bedah siasat dijalankan Jabatan Forensik HTAR ini didapati bahawa punca kematiannya adalah 'pelbagai kecederaan akibat nahas pesawat' dan hasil pemeriksaan cap jari terhadap dua mangsa itu didapati penama pertama adalah Daniel Yee Hsiang Khoo berumur 31 tahun adalah juruterbang, manakala mangsa kedua adalah Roshaan Singh Raina berumur 43 tahun", katanya dalam sidang media khas di hadapan Jabatan Forensik, HTAR, Klang.
Tambah Vijaya, punca nahas pesawat model BK 160 Gabriel tersebut masih lagi dalam siasatan Biro Siasatan Kemalangan Udara.
Menurut beliau, setakat ini, polis telah mengambil keterangan daripada lima individu yang merupakan saksi kejadian tersebut.
Malah, beliau turut menasihati orang awam supaya tidak menghantar atau berkongsi gambar mahu pun video yang berkaitan dengan kejadian ini khususnya di lokasi kejadian.