fb fb fb fb fb

Palestin merdeka, Malaysia bersolidariti bersama rakyat Palestin

PUTRAJAYA, 15 Jun- Malaysia mengulangi komitmen dan solidariti terhadap rakyat Palestin bagi mendapatkan kemerdekaan daripada pendudukan haram Israel.

Perkara tersebut ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, ketika menerima kunjungan Imam Masjid Al-Aqsa, Syeikh Dr Ekrima Sabri di pejabatnya petang tadi. 


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),
Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar)

"Kita kerap mengeluarkan kenyataan yang tegas agar kerajaan rejim Zionis Yahudi di Israel untuk tidak menzalimi dan menceroboh, khususnya Masjidil Aqsa, perbincangan-perbincangan pun kerap dilakukan dan alhamdulillah pada petang ini kita dikunjungi oleh Syeikh Dr Ekrima Sobri untuk kita tahu lebih mendalam kedudukan sebenar yang berlaku di Palestin itu sendiri", katanya.

Dalam pertemuan lebih kurang setengah jam itu, Syeikh Dr Ekrima Sabri yang juga Mantan Mufti Jerusalem turut menyampaikan rasa terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas sokongan dan solidariti yang berterusan terhadap rakyat Palestin sejak sekian lama.

Turut sama dalam kunjungan hormat tersebut adalah wakil NGO, Malaysian Research and Education Foundation (MyREF). 

Kehadiran Syeikh Dr Ekrima ke Malaysia adalah sebagai tetamu khas dalam forum World Palestine Congress 2023 yang akan berlangsung secara maya pada 17-18 Jun 2023 anjuran MyREF.

Media Baharu