fb fb fb fb fb

JPA kaji cadangan naik umur persaraan wajib 65 tahun

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, ditemui media selepas menghadiri syarahan perdana bertajuk “State Capacity and Directed Growth: A Mission Oriented”, di Putrajaya/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Ogos - Satu kajian komprehensif akan dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menjelaskan bahawa cadangan tersebut masih berada di peringkat awal dan memerlukan pertimbangan serta kajian mendalam sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Setakat ini belum ada kajian dilakukan. JPA akan memulakan kajian terlebih dahulu,” katanya kepada media selepas menghadiri syarahan perdana bertajuk “State Capacity and Directed Growth: A Mission Oriented” yang disampaikan oleh pakar ekonomi, Prof Mariana Francesca Mazzucato, di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), mengumumkan bahawa kerajaan akan meneliti semula umur persaraan wajib selaras dengan status Malaysia yang menuju ke arah negara tua.

Cadangan semakan semula itu terkandung dalam Prakarsa Kesembilan RMK13, yang menekankan keperluan memastikan keadilan sosial dan peluang yang saksama kepada semua lapisan masyarakat.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa aspek seperti implikasi kewangan dan kesan terhadap peluang pekerjaan perlu diambil kira secara menyeluruh sebelum keputusan akhir dibuat.

Pada Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan peningkatan had umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun.

Menurut beliau, adalah satu kerugian untuk memaksa individu bersara pada usia 60 tahun sekiranya mereka masih sihat, berdaya saing dan mampu terus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja negara.

Ketika ini, umur persaraan wajib bagi penjawat awam ditetapkan pada 60 tahun selari dengan had minimum persaraan sektor swasta mengikut Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI