fb fb fb fb fb

Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih dilancar

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 21 Disember- Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih dilancar dengan harga lebih rendah untuk golongan belia, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata menerusi pakej tersebut pengguna akan dapat menikmati penurunan harga pakej telekomunikasi bagi langganan prabayar Internet mudah alih berbanding pakej semasa di pasaran pada Februari 2023.

Menerusi kenyataan beliau memaklumkan, pakej tersebut bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup golongan sasar untuk memiliki perkhidmatan Internet yang merupakan utiliti asas yang diperlukan oleh rakyat.


(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)

"Penurunan harga ini meliputi langganan pakej prabayar yang disediakan oleh lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis,U Mobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.

"Pakej Perpaduan dengan harga RM30 ini menawarkan peningkatan kelajuan Internet mudah alih daripada 1Mbps ke 3Mbps dengan kuota dinaikkan daripada 20GB untuk tiga bulan (90 hari) kepada 30GB untuk tempoh lebih lama iaitu selama enam bulan (180 hari).

"Pengguna menikmati penjimatan harga sebanyak 50% berbanding pakej sedia ada iaitu dari RM10 sebulan kepada hanya RM5 sebulan", katanya.

Beliau yakin usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan kerjasama strategik syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan tersebut adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan kos sara hidup dan pada masa yang sama memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh.

"Justeru, langkah penurunan harga ini jelas menunjukkan bahawa keperluan rakyat untuk menikmati perkhidmatan telekomunikasi dengan harga lebih murah dan mampu milik diberi perhatian serius oleh Kerajaan Perpaduan.

"Inisiatif ini sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pengguna golongan belia, B40, OKU, warga emas serta veteran ATM dan polis untuk mendapatkan perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti serta meningkatkan akses kepada kemudahan tersebut.

Pengumuman lanjut mengenai Pakej Perpaduan kepada para pengguna akan dibuat oleh penyedia perkhidmatan dalam masa terdekat.

Media Baharu