fb fb fb fb fb

Pakej 2 jalan pintasan di Pulau Pinang siap Januari 2025

GEORGE TOWN, 7 Januari- Projek penyuraian trafik, pakej 2 membabitkan jalan pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Itam sepanjang enam kilometer dijangka siap dalam tempoh 3 tahun atau sebelum 31 Januari 2025.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, melahirkan keyakinan selepas berpuas hati dengan kemajuan projek itu.

Jelasnya, tiga terowong darat akan dibina merentasi kawasan bukit Island Park dan Island Glades untuk terus ke kawasan Jambatan Pulau Pinang.

"Lebuh raya 6 kilometer ini mengandungi beberapa ciri, merangkumi struktur jejambat (65 peratus), beberapa siri terowong di tiga lokasi (20 peratus) dan selebihnya jalan biasa, di samping melibatkan tiga persimpangan yang menghubungkan jajaran Pakej 2 ke Lebuhraya Thein Teik di kawasan Air Itam, Jalan Sultan Azlan Shah/Bukit Gambir dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, katanya selepas sesi lawatan tapak projek Pakej 2 di Bukit Gambar, di sini hari ini.

Projek Pakej 2 itu merupakan alternatif jalan pintasan bebas tol yang akan mengurangkan masa perjalanan dari 40 minit ketika ini dengan hanya mengambil masa 5 minit untuk ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, juga bakal menghubungkan pengguna jalan raya ke Jalan Bukit Kukus yang akan dibuka tidak lama lagi. 

Ia merupakan salah satu komponen dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang oleh kerajaan negeri dalam usaha merancakkan perjalanan pengguna jalan raya secara lebih efektif dan jimat masa.

Projek itu dibangunkan Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd dengan ECK Development Sdn Bhd.

Media Baharu