ULU KLANG, 22 April- Hari terakhir Ramadan siang tadi menyaksikan warga kota ambil kesempatan membeli lemang.
Antara lokasi tumpuan, deretan kedai lemang di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Ulu Klang.
Salah satu kedai popular di situ, gerai 'Pak Ajai Lemang dan Rendang'.
Sejak 20 tahun lalu, kedainya menerima permintaan menggalakkan daripada orang ramai.
Lebih tiga ribu batang lemang habis dijual untuk malam raya sahaja.
Malah, tidak menang tangan menerima tempahan sejak dua minggu lalu.
Keseluruhan bilangan tempahan diterima meningkat dua kali ganda berbanding tahun lepas.
(Pengunjung beratur untuk membeli lemang dan rendang)
Menurut pengusaha lemang Ahmad Fadhli Asrizal, "untuk sambutan Aifitri kali ini saya fikir orang akan beratur pendek, tapi waktu macam ini sudah panjang.
"Ingat tidak meriah seperti tahun sebelum ini. Untuk tahun ini, orang ramai lebih bersedia untuk membeli lemang kerana sudah tahu Aidilfitri akan disambut pada hari Sabtu."
Lemang dijual pada harga RM20 hingga RM26 mengikut saiz buluh yang dijual.
Bagi pelanggan Ihtisham Hisham yang telah menjadi pembeli setia lebih sedekad berkata, "kalau kita hendak beli banyak baru boleh membuat tempahan, iaitu 12 batang. Tetapi ianya perlu dibayar terlebih dahulu, kalau tidak memang kena beratur."
Mohd Faisal Jaa yang ditemui pemberita turut meluahkan perasaan gembira kerana, "lemang di sini memang terbaik. Untuk hari raya pertama memang kena makan lemang dengan ketupat."
Bagi Azura Che Ri, dia sanggup beratur untuk mendapatkan lemang daripada gerai Pak Ajai Lemang kerana, "saya memang suka lemang yang dijual dekat sini. Memang kena dengan citarasa saya."