fb fb fb fb fb

PahangFM tanam 1,000 pokok Rhu sempena sambutan Hari Radio Sedunia

KUANTAN, 13 Februari- Sempena Sambutan Hari Radio Sedunia, PahangFM mengambil inisiatif menanam 1,000 pokok Rhu di Pantai Kempadang, Kuantan.

Pengarah Bahagian Program Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Nor'ain Bakir berkata Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) RTM Pahang itu diadakan seiring sasaran Kempen Penghijauan Negara menjelang tahun 2025.

“Peranan kita seterusnya untuk bersama-sama meneruskan agenda nasional masyarakat Malaysia Madani yang cintakan keamanan dan juga signifikannya kita mengadakan CSR kita menanam pokok lebih 1,000 pokok di Pantai Kempadang ini.

Ini juga salah satu hasrat kami warga radio RTM untuk sama-sama menyahut agenda nasional kita iaitu penanaman 100 juta pokok," kata Nor'ain kepada pemberita RTM selepas Program Penanaman Pokok sempena sambutan Hari Radio Sedunia 2023 di sini.


(Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman menyempurnakan upacara perasmian program
menanam 1,000 pokok Rhu di Pantai Kempadang, Kuantan)

Program tersebut dirasmikan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman, bersama para penyampai daripada 34 stesen radio RTM.

Tambahnya, program turut mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Kanan Silvikultur Timur JPNP, Nurfazliza Kamarul Bahrin berkata program turut disertai 500 pelajar daripada Institusi Pengajian Tinggi awam dan swasta antaranya Universiti Malaysia Pahang, Kolej Poly-Tech MARA, selain kanak-kanak dari Tadika Tunas Cahaya Iman, Kuantan.

“Jadi, program ini turut melibatkan pelajar sekolah, masyarakat awam, agensi kerajaan dan swasta. Ia penting agar pelajar-pelajar diberi pendedahan awal tentang kepentingan menjaga alam selain mereka tahu kaedah untuk menanam pokok," kata Nurfazliza kepada pemberita RTM.

Jelas beliau, bagi tempoh 2021 sehingga kini, sebanyak lebih 6.2 juta pokok telah ditanam di seluruh negeri Pahang menerusi program sama.

Malah katanya, serentak dengan program hari ini, JPNP turut mengadakan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies Sesuai di Pesisiran Pantai Negara bagi mengambil kira kejadian tsunami yang melanda negara pada tahun 2004.

Media Baharu