fb fb fb fb fb

Pahang terima RM14 juta EFT untuk perkasa biodiversiti dan hutan

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad

ROMPIN, 15 November - Kerajaan menyalurkan RM14 juta insentif kewangan melalui ‘Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation’ (EFT) kepada negeri Pahang, bagi memperkasakan usaha konservasi biodiversiti dan hutan.

Jumlah tersebut dijangka meningkat pada tahun depan dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memperuntukkan EFT sebanyak RM200 juta bagi tahun 2024 berbanding tahun ini iaitu RM150 juta.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, hingga kini kerajaan negeri Pahang telah menerima RM22.8 juta peruntukan EFT bagi melaksanakan program dan aktiviti konservasi biologi dan hutan.

"Sejak tahun 2019, Negeri Pahang telah menerima peruntukan EFT sebanyak RM22.8 juta. Manakala sebanyak RM14 juta disalurkan untuk tahun 2023. Patik amat berharap supaya peruntukan EFT ini dapat dimanfaatkan bagi melaksanakan program dan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dan kepelbagaian biologi," Nik Nazmi berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 Peringkat Pahang dan Pejabat Hutan Daerah Rompin yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di sini.

Dalam pada itu katanya, NRECC berharap semua kerajaan negeri memberi sokongan dengan menerima pakai keseluruhan pindaan dalam Akta Perhutanan Negara (Akta 313) di negeri masing-masing yang diwartakan pada 20 September di peringkat persekutuan.

Antara penambahbaikannya seperti memperketatkan proses pewartaan keluar dan penggantian Hutan Simpanan Kekal (HSK), memperkenalkan proses siasatan awam sebelum sesuatu kawasan HSK boleh diwarta keluar serta penggantian serentak bagi HSK yang diwarta keluar itu.

Selain itu, denda maksimum bagi kesalahan hutan ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM5 juta dan hukuman penjara maksimum dinaikkan kepada tujuh tahun hingga 20 tahun sebagai langkah pencegahan.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Roslan Rani.

Dalam majlis itu, Yang Dipertuan Agong turut berkenan melawat pameran dan menanam pokok palma (Livistona endauensis) di perkarangan Pejabat Hutan Daerah Rompin.

TETITIA YUSOFF