LANGKAWI, 15 November - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana melakukan aktiviti menunda atau “tarik tepi” di kawasan yang tidak dibenarkan.
Bot berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira sembilan batu nautika barat Pulau Rebak Besar, Langkawi, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Romli Mustafa berkata penahanan itu dibuat ketika bot ronda Maritim sedang melakukan rondaan operasi Op Aman dan Op Tiris di perairan Langkawi.
"Bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan tiga kru kesemuanya warga Thailand lingkungan umur antara 29 hingga 56 tahun di zon larangan perikanan ketika sedang leka melakukan aktiviti berkenaan.
"Tiga daripada kru terbabit juga gagal mempamerkan pasport yang sah ketika pemeriksaan sedang dilakukan," katanya.
Romli berkata kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 1,000 kg telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai.
Tambah Romli, kegiatan tarik tepi sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot tersebut ingin melepasi jarak 15 batu nautika daripada pantai.
Katanya, aktiviti menangkap hasil laut kurang 15 batu nautika daripada pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen," katanya.