fb fb fb fb fb

Orang ramai dijemput meriahkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI

FOTO Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 15 November- Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan menganjurkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang dijadualkan pada 8 hingga 10 Disember 2023 bertempat di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sekretariat program menerusi satu kenyataan memaklumkan, objektif penganjuran adalah untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat, meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan, serta membina kepercayaan serta keyakinan antara Kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

"Program ini turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai Kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta para pemegang taruh.

"Penganjuran program ini memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat,"menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan tersebut, ketiga-tiga komponen berkenaan merupakan ikhtiar Kerajaan dalam memastikan kepentingan rakyat diutamakan selari dengan nilai-nilai Malaysia MADANI iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

"Antara tarikan sepanjang tiga hari program ialah penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi libat urus Kementerian-kementerian bersama rakyat, Jualan Mega MADANI dan lain-lain lagi.

"Rakyat juga berpeluang untuk melihat pencapaian kerajaan melalui pameran pencapaian semua Kementerian berserta perancangan jangka masa panjang kerajaan,"kata skretariat.

Majlis perasmian penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim pada 10 Disember 2023 dan akan turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan.

Orang ramai dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada 8 hingga 10 Disember 2023 bermula 9.00 pagi hingga 10.00 malam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE