fb fb fb fb fb

Pahang kutip hampir RM10 juta fi kelestarian pada 2023

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man

KUANTAN, 20 Julai- Fi kelestarian yang dikenakan sebanyak RM3 bagi penginapan satu malam di hotel-hotel seluruh Pahang menyumbang hampir RM10 juta kepada kutipan hasil kerajaan negeri pada tahun lalu.

Menurut Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man, kutipan cukai yang dibayar oleh pelancong bermula tahun 2022 itu, adalah antara usaha di bawah kategori lain-lain hasil bertujuan memasarkan semula pelancongan di negeri itu.

Malah, dalam masa yang sama,  bayaran cukai itu digunakan untuk menambah baik kemudahan infrastruktur serta membangunkan sektor pelancongan baharu.

"Fi lestari ini apabila dikutip ianya akan digunakan semula kepada sektor pelancongan, jadi sebagai contoh dalam pengumuman bajet kerajaan negeri fi lestari sebahagiannya akan digunakan untuk menaik taraf ataupun menyelenggara infrastruktur pelancongan negeri Pahang, sebahagian lagi akan digunakan kerajaan tempatan masing-masing untuk tujuan membangunkan sektor pelancongan juga,"katanya.

Beliau sebelum itu ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Matta Fair Pahang 2024, di Kuantan, Pahang.

Sementara itu katanya, setakat Mei lalu sebanyak RM5 juta fi kelestarian berjaya dikutip berdasarkan statistik kunjungan pelancong sebanyak 13.2 juta orang yang berkunjung ke Pahang.

Tambahnya,  jumlah kutipan fi kelestarian pada tahun ini dijangka akan melebihi jumlah kutipan pada tahun sebelumnya ekoran pertambahan jumlah penginapan yang dibuka di negeri ini.

Pahang merupakan negeri ketiga yang melaksanakan cukai kelestarian, selepas Pulau Pinang dan Melaka.

Matta Fair Pahang 2024 yang berlangsung bermula hari ini sehingga 21 Julai di Kuantan City Mall, menghimpunkan 28 pemain industri pelancongan dari seluruh Pahang yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan menarik dari dalam mahupun luar negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE