fb fb fb fb fb

Pahang komited memulihara alam sekitar

LIPIS, 26 Mac - Kerajaan Pahang mengulangi pendirian akan mengambil tindakan tegas terhadap fitnah yang dilemparkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab kononnya kerajaan negeri mengabaikan kepentingan pemuliharaan alam sekitar di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hal ini kerana pelbagai cara dan inisiatif pengurusan tentang hutan telah dilaksanakan demi kelestarian alam sekitar.

“Kita komited melaksanakan pengurusan dan pemuliharaan bagi Hutan Simpan Kekal (HSK) berkeluasan 1.59 hektar dan kawasan berhutan (2.04 hektar), iaitu meliputi 57 peratus keluasan negeri.

“Antara dilaksanakan pewartaaan HSK, tambahan hutan tadahan air, tanah kerajaan membabitkan persempadanan dengan negeri jiran, iaitu Kelantan, Perak, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor dikenali sebagai Sempadan Hijau,” katanya.

(Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah/FOTO Facebook Abdul Rahman Mohamad)

Wan Rosdy berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2022 di Hutan Simpan Tanum, Sungai Yu, dekat sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad merangkap Ahli Parlimen Lipis serta Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Datuk Zurinah Pawanteh.

Dalam perkembangan sama, menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri menggalakkan para penyelidik di Institusi Pengajian Tinggi Awam, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalankan penyelidikan biodiversiti Taman Negeri Rompin dengan menyediakan geran bernilai RM50,000 setahun.

“Bagi tujuan penguatkuasaan dan pemuliharaan hutan, sebanyak 77 kes pelbagai kesalahan hutan telah dilaporkan dan 11 kes sehingga ini telah dihadap ke mahkamah dengan melibatkan kompaun dan ganti rugi bernilai RM3.9 juta,” katanya.


Media Baharu