fb fb fb fb fb

56 lesen aktiviti perlombongan mineral dikeluarkan menerusi Skim Pelombong Kecil di Kechau

FOTO Fb Wan Rosdy Wan bin Wan Ismail

KUANTAN, 8 Mac- Kerajaan Negeri Pahang telah mengeluarkan sebanyak 56 lesen bagi aktiviti perlombongan mineral menerusi Skim Pelombong Kecil di kawasan seluas 4.05 hektar ke bawah di Mukim Kechau, Lipis.

Lesen perlombongan tersebut dikeluarkan menerusi Pahang Mining Corporation sejak 2022 yang dijadikan sebagai pusat setempat bagi merancang, mengurus dan memantau aktiviti perlombongan mineral di negeri itu.
  
Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, aktiviti perlombongan berskala kecil di tanah persendirian tersebut akan diselia sepenuhnya menerusi skim itu termasuk membantu pengusaha mendapatkan keuntungan lebih stabil.
 
"Kerajaan negeri akan bagi kerjasama baik kepada pengusaha dan ini lebih kepada situasi menang-menang. Maknanya harga akan jadi lebih stabil, mereka mendapat pulangan baik. Kerajaan negeri dapat hasil dan ini dapat dipasarkan dengan lebih sistematik dan teratur berbanding sebelum ini", katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian Program PRISMM 2024: Pahang Revitalizing Initiative For Sustainable Management Of Mineral Industry 2024 di Kuantan.
 
Tambah Beliau, sejak skim itu diperkenalkan pada 2023, Kerajaan Negeri telah memperoleh kutipan hasil keseluruhan berjumlah kira-kira RM2.383 juta.
 
Dalam pada itu katanya, mana-mana pihak yang mahu menyertai Skim Pelombong Kecil itu, boleh membuat permohonan kepada kerajaan negeri menerusi Pahang Mining Corporation.
 
Katanya, jika didapati melakukan aktiviti perlombongan secara haram meskipun di tanah persendirian hukuman berat akan menanti pesalah berdasarkan lunas undang-undang sedia ada.

ROSLINA BINTI DIN