fb fb fb fb fb

Pahang berjaya noktahkan miskin tegar

Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 29 Mei - Sebanyak 1,946 ketua isu rumah (KIR) di Pahang yang direkodkan berada dalam golongan miskin tegar sebelum ini, berjaya melonjakkan pendapatan mereka sekali gus keluar daripada kategori berkenaan.

Menurut Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail ia sekali gus menjadikan negeri itu berjaya menoktahkan kemiskinan tegar semalam selari dengan aspirasi kerajaan sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob dan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Pahang, Datuk Fadzilla Salleh, pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) hari ini.

"Apabila ada data menunjukkan bilangan miskin tegar sebelum ini, kita minta pejabat pembangunan negeri pantau untuk lihat apa yang kita boleh tolong mereka (golongan miskin tegar)," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kadar kemiskinan tegar di Pahang," kata Wan Rosdy.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada 99 individu terdiri daripada Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Orang Asli dan Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang di sini.

Katanya, kerajaan negeri akan sentiasa memantau dan berusaha untuk mengurangkan isu miskin tegar di Pahang.

Pelbagai usaha dilakukan antaranya termasuk Bantuan Prihatin Pahang (BPP) dan yang telah dilaksanakan.

BPP tidak sekadar menunjukkan keprihatinan terhadap nasib rakyat malah dapat memberi peluang kepada rakyat menjana pendapatan, termasuklah Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Pahang (I-PUSH).

Jelasnya, skim tersebut membantu menyalurkan modal permulaan untuk berniaga agar mereka dapat meneruskan perniagaan.

Dalam pada itu seramai 98 pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM 2023 menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang.
 
Daripada jumlah itu, 48 pelajar cemerlang terdiri daripada Orang Asli dan 50 pelajar dari Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang.

Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa cakna dan prihatin terhadap pendidikan terutama melibatkan masyarakat itu dan sekolah menengah agama negeri.

"Jadi dengan kata lain kerajaan negeri sentiasa cakna dengan anak kita dan Alhamdulillah satu permulaan yang baik dan paling menariknya kita dapati sebagai contohnya sekolah menengah agama negeri pada setiap tahun prestasinya meningkat," katanya.

TETITIA YUSOFF