fb fb fb fb fb

Pagar automatik di pintu masuk utama negara beroperasi secara berperingkat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 19 Julai - Sistem pagar automatik untuk pelawat asing di beberapa pintu masuk utama negara telah mula beroperasi secara berperingkat bermula pukul 6.00 petang tadi.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan memaklumkan, pemulihan separa itu adalah hasil usaha tanpa henti pasukan teknikal AKPS dan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Walaupun sistem telah mula berfungsi, ia masih belum pulih sepenuhnya. Kerja-kerja pembaikan dan penstabilan sistem masih lagi diteruskan bagi memastikan ia dapat kembali beroperasi pada kapasiti optimum.

"Keadaan di semua pintu masuk utama negara yang terjejas, termasuk KLIA Terminal 1 dan 2, serta Kompleks CIQ di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar adalah terkawal," menurut kenyataan itu.

Langkah-langkah mitigasi seperti pengaktifan kaunter manual dan penugasan anggota tambahan akan diteruskan untuk memastikan aliran pergerakan pelawat asing kekal lancar dan teratur.

"AKPS akan terus memastikan sistem kembali pulih bagi memastikan pengoperasian harian pelawat asing keluar masuk ke pintu utama negara dalam keadaan terkawal dan selamat.

"AKPS amat menghargai kesabaran dan kerjasama semua pihak sepanjang tempoh ini," tambah kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI