DUNGUN, 19 Julai – Seorang lelaki ditemukan lemas ketika berkelah bersama rakan-rakannya di Kawasan Perkelahan Air Terjun Lubuk Kain, Hulu Dungun, di sini, petang tadi.
Mangsa, Muhammad Asri Anuar, 21, yang bekerja sebagai juruteknik dalam sektor minyak dan gas, dipercayai dihanyutkan arus selepas terjun dari kawasan berbatu setinggi lebih empat meter pada pukul 1.30 petang, sebelum gagal timbul ke permukaan air.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira 10 minit kemudian, pada kedalaman sembilan meter di dasar air terjun oleh pasukan penyelamat.
Difahamkan, mangsa berkunjung ke kawasan tersebut bersama empat rakan sempena cuti hujung minggu.
Salah seorang saksi kejadian, Nur Shazlin Shafiza Uyok, yang juga peniaga di kawasan perkelahan itu memaklumkan beliau menerima berita kejadian daripada pengunjung yang datang dalam keadaan cemas.
Nur Shazlin Shafiza Uyok
“Semasa saya sedang berniaga, ada pengunjung datang beritahu ada orang lemas. Saya segera hubungi ketua saya untuk maklumkan kejadian itu.
“Biasanya kalau berlaku kejadian lemas, orang akan maklumkan kepada pihak pengurusan terlebih dahulu. Tapi kali ini, pengunjung terus hubungi bomba, jadi kami tidak tahu maklumat awal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa papan tanda amaran telah dipasang di kawasan berkenaan.
Namun katanya, masih terdapat pengunjung yang memasuki kawasan terlarang dan mengabaikan aspek keselamatan semasa melakukan aktiviti air.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.