BACHOK, 19 Julai - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah menerima sebanyak 12,417 aduan berkaitan penderaan, pengabaian dan isu kebajikan haiwan sejak 2021 hingga kini.
Ketua Pengarah JPV Dr Akma Ngah Hamid berkata daripada jumlah itu, sebanyak 249 kes direkodkan pada 2021, diikuti 1,249 kes pada 2022, 1,580 kes (2023) dan 4,133 kes (2024). Bagi tahun ini pula, sebanyak 2,533 kes telah diterima setakat 10 Julai lepas.
“Sehingga kini, sebanyak 1,407 lesen telah dikeluarkan bagi aktiviti melibatkan haiwan hidup termasuk 542 lesen untuk aktiviti jualan haiwan hidup dalam kurungan dan 865 lesen bagi penginapan haiwan hidup,” katanya.
Dr Akma berkata individu yang didapati bersalah boleh disiasat di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
Beliau berkata penalti bagi kesalahan individu yang gagal memenuhi keperluan kebajikan haiwan sama ada sebagai pemilik atau pemegang lesen, boleh dikenakan denda tidak kurang RM15,000 dan tidak melebihi RM75,000, atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Kebajikan Haiwan Peringkat Kebangsaan 2025 serta program Pendaftaran Kad Pengenalan Kuda yang diadakan di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai sambutan berkenaan, Dr Akma berkata tema sambutan program tahun ini ialah ‘Pemilik Prihatin, Haiwan Terjaga’ yang menekankan peranan penting pemilik haiwan dalam memastikan kebajikan haiwan sentiasa terpelihara dan tidak diabaikan.
Beliau berkata fokus utama tahun ini adalah kepada industri kuda, khususnya di negeri Kelantan, bahawa haiwan itu bukan sekadar haiwan peliharaan atau tunggangan biasa tetapi juga merupakan haiwan kesayangan yang mempunyai nilai emosi dan simbolik tersendiri kepada pemiliknya.
Menurutnya, kuda memainkan peranan yang signifikan dalam industri sukan, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa termasuk sukan lumba kuda, endurance, polo dan equestrian.
“Namun demikian, perlu dijelaskan bahawa industri kuda tidak dikategorikan sebagai penternakan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Oleh itu, pengurusan dan pembangunan industri kuda memerlukan pendekatan kerjasama pelbagai pihak. Dalam hal ini, peranan JPV adalah penting khususnya dalam aspek pencegahan dan kawalan penyakit haiwan yang melibatkan kuda,” katanya
Beliau berkata tanggungjawab itu merangkumi pelaksanaan program vaksinasi, saringan penyakit, kawalan sempadan serta pematuhan terhadap protokol kesihatan veterinar dan biosekuriti.
“Satu daripada inisiatif yang sedang diperluas ialah penggunaan kad pengenalan haiwan yang dikenali sebagai pasport haiwan peliharaan (pet passport) dan mikrocip bagi kuda. Pet passport membantu merekod maklumat kesihatan, vaksinasi, sejarah rawatan dan pemilikan, selain memudahkan urusan pergerakan, jual beli dan pengesanan kesihatan secara lebih sistematik,” katanya.
Program berkenaan juga bertujuan mempromosikan tanggungjawab pemilik untuk menyediakan tanda pengenalan kepada haiwan dengan kad pengenalan dan mikrocip.
Selain itu, JPV juga telah melaksanakan pemasangan mikrocip dan pendaftaran kad pengenalan kepada hampir 100 ekor kuda.
Turut hadir Pengarah JPV Kelantan Dr Yahasmida Yaacob dan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.-BERNAMA