PARWAN, 19 Julai - Seramai 400 keluarga miskin dan ibu tunggal di Afghanistan menerima bantuan makanan asas menerusi misi kemanusiaan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) bersama rakan strategik Econsave.
Setiap keluarga menerima set bantuan bernilai AS$80 yang mengandungi 50 kilogram tepung, 24.5 kilogram beras dan satu botol minyak masak yang mampu menampung keperluan harian sehingga dua bulan bagi setiap isi rumah seramai enam orang.
"Hari ini kita dapat hantarkan 400 beg makanan yang terdiri daripada 50 kilogram tepung, 24.5 kilogram beras dan 1 botol minyak masak. Kalau ikutkan, kalau untuk barangan ini boleh bertahan untuk 2 bulan lah kalau untuk keluarga 6 orang. Bantuan ini semuanya bernilai dalam 80 USD. Jadi kita harap bantuan ini dapat meringankan sedikit beban balu di Afghanistan ini dan diharap selepas ini kita akan dapat memperbanyakkan program-program seperti ini di Afghanistan," kata Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam.
Agihan bantuan kali ini dilaksanakan di daerah Parwan, kira-kira dua jam perjalanan dari Kabul, yang menjadi antara lokasi terjejas teruk akibat konflik dan kemiskinan.
Menurut Ketua Misi Kemanusian Afghanistan, Mohd Zin Kandar, kehadiran mereka turut diraikan oleh pemimpin wilayah dan pihak berkuasa tempatan, termasuk mendapat liputan dari stesen televisyen nasional Afghanistan.
"Alhamdulillah, misi kita ke Parwan ini sangat mengujakan kerana dihadiri oleh pemimpin Taliban di peringkat negeri Parwan dan juga beberapa pihak berkuasa tempatan serta stesen TV nasional Afghanistan yang hadir. Jadi Alhamdulillah, kehadiran MyCARE dan juga Econsave hari ini mendapat sambutan yang hebat dan kita tadi telah diberi penghargaan oleh mereka." jelas beliau.
Bagi penerima bantuan, kehidupan seharian adalah sangat mencabar, apatah lagi tanpa pendapatan tetap atau tempat tinggal yang selamat.
"Hari ini saya tidak mempunyai apa-apa untuk dimasak, anak-anak belajar di sekolah, saya tidak mampu nak membayar pembiayaan mereka, kalau ada orang bantu saya, saya akan gunakan untuk pembelajaran anak-anak saya, sebab mereka perlu belajar," menurut Gul Ghuti
"Saya melalui banyak masalah ketika saya datang ke sini, rumah saya sudah musnah dan saya tidak mempunyai tempat tinggal. Saya tidak mempunyai kerja, juga tiada apa-apa untuk dimakan. Sebab itu, saya mengharapkan bantuan lebih daripada Malaysia dan bantuan yang diberi, saya sangat menghargai bantuan daripada Econsave dan MyCARE," jelas Ahmad, turut berkongsi keperitan hidup selepas kehilangan tempat tinggal akibat konflik.
Misi kemanusiaan ini bukan sekadar menyampaikan bantuan makanan, tetapi membawa harapan baharu kepada masyarakat yang terpinggir bahawa masih ada pihak yang peduli dan menghulurkan bantuan walau dari negara yang berlainan.