fb fb fb fb fb

Paetongtarn berlepas ke Thailand, akhiri lawatan dua hari ke Malaysia

Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dan suami Pitaka Suksawat tiba di Kompleks Bunga Raya untuk berangkat pulang/ BERNAMA

SEPANG, 16 Disember- Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan pasangannya, Pidok Sookwasa berangkat pulang ke Thailand selepas mengakhiri lawatan rasmi selama dua hari di Malaysia.

Pesawat yang membawa Pemimpin Thailand itu berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) berlepas kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Paetongtarn diberikan pelepasan permaidani merah dan kawalan kehormat oleh 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat), yang dipimpin Kapten Muhammad Syafiq Najmi Mazlan.

Turut hadir mengiringi mereka, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Bong Yik Jui.

Antara hasil pertemuan beliau bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Thailand menyatakan sokongan terhadap peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada 2025.

Paetongtarn turut menyuarakan harapan agar Malaysia dan Thailand dapat bekerjasama demi kebaikan kedua-dua negara dan ASEAN secara keseluruhan.

Selain itu, kedua-dua negara berkongsi pendirian sama mengenai penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN, dengan kedua-duanya komited menyokong penyertaan itu sebagai anggota penuh.

Dalam pada itu, Anwar turut melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi bagi membantu Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025.

Malaysia secara rasmi akan menjadi pengerusi ASEAN pada 1 Januari depan bertemakan 'Keterangkuman dan Kemampanan'.

Ia sekali gus mencerminkan aspirasi Malaysia untuk memupuk ASEAN yang bersatu dan makmur. 

Sementara itu menerusi kerjasama ekonomi, kedua-dua negara bakal memberi tumpuan ke arah usaha untuk berdagang dan melabur dalam hubungan sempadan, ekonomi digital dan pelancongan serta kerjasama dalam industri getah dan halal.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) berkaitan budaya, kesenian dan warisan, serta perdagangan getah dan kerjasama ekonomi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI