fb fb fb fb fb

KPM siap siaga menghadapi gelombang banjir seterusnya

Fadhlina Sidek

DUNGUN, 16 Disember- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berada dalam mod bersiap siaga untuk menghadapi gelombang banjir seterusnya.

Perkara itu bagi memastikan tiada murid tercicir daripada menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran semasa tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ia merangkumi Pengajaran dan pembelajaran di Rumah (PdPR).

Selain itu pasukan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk memberi sokongan pembelajaran dan psikososial kepada murid terjejas banjir.

"PdPR masih relevan, sebab itu pelajar sekolah berada di PPS sedang diaturkan untuk menjalani PdPR. Ia untuk mmberi keselesaan dan keutamaan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Sekolah terlibat sudah bersedia di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) termasuk persediaan yang perlu dilakukan termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga guru-guru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini.

Ketika ini seramai 1,580 anggota SST dan AST ditempatkan di PPS bagi memberi perkhidmatan tersebut.

Manakala seramai 310 kaunselor ditempatkan di Terengganu, Kelantan dan Kedah sepanjang tempoh peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Terdahulu Fadillah meninjau pasca banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengai, Hulu Dungun.

Mengulas lanjut beliau berkata, jumlah kerosakan institusi pendidikan terjejas banjir sedang dinilai.

Sekiranya terdapat kerosakan ia akan dibaiki segera bagi memastikan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berjalan lancar.

Sementara itu beliau berpandangan modul persiapan banjir di Terengganu wajar dijadikan penanda aras dalam menghadapi gelombang banjir akan datang.

Inisiatif menggunakan 'staging' di sekolah berisiko banjir juga perlu dipuji kerana dapat menyelamatkan, mengurangkan risiko kerosakan aset dan peralatan sekolah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI