ROMPIN, 16 Disember - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menumpukan kepada kerja-kerja menaik taraf dan membina baharu empat fasiliti sukan di Pahang.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata, keutamaan diberikan kepada kompleks dan kemudahan sedia ada supaya ia boleh dimanfaatkan.
Menurutnya, antara yang diberi perhatian ialah kerja-kerja menaik taraf rumput Stadium Darul Makmur bernilai RM500,000 seperti yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, sebelum ini. Selain, penaiktarafan Kompleks Rakan Muda Rompin.
"Untuk projek yang akan datang kita ada empat, antaranya naik taraf dan bina baharu kompleks sukan kuantan yang ini bernilai RM25 juta dan akan kita siapkan dijangka Mei 2025 tahun depan. Kemudian kita juga ada penaiktarafan stadium hoki indera mahkota dengan nilai keseluruhan RM3.5 juta ini dalam proses pembinaan lagi," kata Adam Adli.
Tambah beliau, pihaknya juga akan terus memastikan fasiliti-fasiliti sukan yang kecil bawah seliaan KBS terus dinaik taraf dari semasa ke semasa sekiranya ada keperluan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Penyerahan Siap Kerja Naik Taraf Kompleks Rakan Muda Rompin dan Pembinaan Benteng Pemecah Ombak Kompleks Rakan Muda Rompin.
Mengulas mengenai kompleks sukan itu beliau berkata, ia dijangka akan dibuka pada suku kedua tahun 2025.
Dengan siapnya kerja-kerja menaik taraf kompleks tersebut, ia mampu memberi manfaat kepada penduduk setempat, serta kepada mereka yang berkunjung ke daerah terlibat.
Malah, benteng pemecah ombak bernilai RM8 juta turut dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memastikan kompleks tersebut dipelihara dan dapat terus digunakan dengan selamat.