fb fb fb fb fb

PADU: Perak sedia bantu golongan luar bandar mendaftar

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 4 Januari - Kerajaan Negeri Perak bersedia membantu golongan luar bandar khususnya yang tidak memiliki akses untuk melakukan pendaftaran secara dalam talian di Pangkalan Data Utama (PADU).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beberapa kaedah akan diteliti bagi menggalakkan pendaftaran rakyat di negeri itu.

Beliau turut menyarankan Pusat Khidmat Masyarakat memainkan peranan dalam memastikan tiada yang terkecuali untuk mendapat manfaat daripada pelaksanaan sistem berkenaan.

"Pusat-pusat khidmat wakil rakyat juga boleh menyediakan bantuan pengurusan untuk padu ini iaitu Pusat Khidmat Masyarakat sebab mereka ada pusat khidmat ada kemudahan disitu tapi kita faham ada lagi orang yang perlu dibantu termasuk masyarakat orang asli yang berada di luar daripada kawasan bandar ataupun jauh daripada Pusat Khidmat Masyarakat, nanti kita akan lihat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena dengan Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2024, Siri 1 di Stadium Indera Mulia, di sini.

PADU yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lepas merupakan hab data negara yang selamat dan komprehensif untuk mengelakkan berlakunya keciciran dalam pengagihan bantuan serta subsidi kerajaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN