KUALA LUMPUR, 15 Ogos-Kerajaan mahu setiap organisasi media tempatan menyediakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk petugas sambilan yang berdaftar di bawah mereka.
Pendekatan itu bagi menjamin keselamatan sosial pekerja sambilan media di seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini kadar caruman tersebut ditanggung 90 peratus oleh kerajaan manakala 10 peratus lagi oleh BERNAMA bagi tempoh setahun bermula 1 Julai lepas.
Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bakal memanfaatkan 493 pengamal media sambilan daripada 45 organisasi media di seluruh negara dengan nilai caruman RM232.80 setiap individu.
"Harapan saya semua 'stringer' yang bekerja separuh masa tapi sebenarnya mereka bekerja lebih masa akan dapat perlindungan sosial yang lebih menyeluruh, di samping meningkatkan kefahaman dalam kalangan para wartawan atau pengamal media tentang pentingnya aspek keselamatan sosial.
"Saya harap program ini akan dapat diteruskan, sama ada melalui BERNAMA tahun depan ataupun caruman sendiri," katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara BERNAMA dan Perkeso di sini.
MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin.
Turut disampaikan, Nota Perlindungan Perkeso kepada 10 petugas media sambilan daripada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Astro AWANI, Media Prima Berhad, Utusan Malaysia, Makkal Osai dan BERNAMA.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai.
Dalam pada itu, Fahmi berkata platform media sosial diminta untuk meletakkan label atau pemberitahuan kecerdasan buatan (AI) pada setiap kandungan yang dijana AI yang disiarkan pada platform mereka.
Ia antara cadangan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini seperti pemalsuan identiti dan kandungan.
Fahmi berkata, semua pengendali platform media sosial harus bertanggungjawab terhadap sebarang insiden yang berlaku di platform mereka.
"Pertemuan saya dengan platform media sosial di Singapura, saya telah menegaskan platform-platform juga wajib bertanggungjawab atas apa yang berlaku dalam platform mereka.
"Sekiranya sesuatu bahan itu telah dihasilkan melalui AI. Seharusnya platform ini meletakkan tanda. 'Put a notice this is generated by AI' (letakkan notis ini dijana oleh AI)," kata Fahmi di sini ketika mengulas insiden melibatkan pempengaruh media sosial, Khairul Aming, yang menjadi mangsa video palsu di media sosial.