fb fb fb fb fb

Orang ramai, pelanggan Bank Islam diiingatkan waspada cubaan penipuan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 19 Jun- Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mengingatkan orang ramai serta para pelanggan agar berwaspada terhadap mesej palsu yang disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp dan media sosial yang menyamar sebagai akaun Al-Awfar serta aplikasi perbankan mudah alih BIMB Mobile.

Bank Islam dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengesan peningkatan cubaan penipuan melalui mesej palsu dan laman web tidak rasmi yang mendakwa sebagai wakil sah Bank.

Mesej tersebut sering kali mengandungi pautan mencurigakan serta arahan untuk memuat turun aplikasi yang tidak diperoleh dari gedung aplikasi rasmi.

"Pelanggan dinasihatkan supaya tidak mempercayai, mengklik atau memberi maklum balas kepada mesej-mesej ini kerana ia berpotensi menjadi cubaan pancing data (phishing) bagi mencuri maklumat peribadi dan perbankan," menurut kenyataan itu.

Bank Islam turut menjelaskan bahawa walaupun promosi kempen seperti Al-Awfar diumumkan melalui saluran rasmi media sosialnya, sebarang penyertaan, maklumat dan penglibatan hanya dilaksanakan melalui platform rasmi bank tersebut sahaja.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI