PUTRAJAYA, 19 Jun- Kerjasama strategik antara Malaysia dan Rusia dalam bidang pengurusan bencana bakal diperkukuh menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dijangka dimeterai tahun ini.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa menerima kunjungan hormat Menteri Pengurusan Bencana Rusia, Leftenan Jeneral Alexander Kurenkov di sini hari ini.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, MoU berkenaan akan menjadi kerangka rasmi kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Pengurusan Bencana (EMERCOM) Rusia dalam aspek latihan bersama, perkongsian kepakaran, serta respons kecemasan yang lebih tersusun dan menyeluruh.
"Kita telah memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin, termasuk merancang latihan bersama misi mencari dan menyelamat antara Pasukan SMART dan pasukan RUS-03 dari Rusia.
"Hari ini juga, satu persidangan video akan diadakan antara Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dan Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan EMERCOM. Ini adalah langkah penting untuk kita berkongsi pengalaman secara terus antara EMERCOM dan NADMA," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media bersama sempena kunjungan hormat Menteri Pengurusan Bencana Rusia, Leftenan Jeneral Alexander Kurenkov di sini.
Turut dibincangkan ialah pelaksanaan latihan bersama misi mencari dan menyelamat (SAR) antara Pasukan SMART Malaysia dan pasukan RUS-03 dari Rusia, yang disifatkan sebagai usaha meningkatkan keupayaan taktikal serta memperkukuh kepercayaan operasi antara kedua-dua negara.
Selain itu, Rusia turut menawarkan program latihan dan peningkatan keupayaan bagi pegawai Malaysia, termasuk kursus khas untuk anggota Pasukan SMART serta pegawai kanan Jabatan Bomba di salah sebuah universiti di St. Petersburg.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menyatakan kesediaannya untuk melawat Rusia dalam masa terdekat, bersempena dengan persidangan pengurusan bencana dan acara antarabangsa di Azerbaijan, bagi memperkukuh lagi hubungan dua hala dalam bidang kemanusiaan.