fb fb fb fb fb

Malaysia terus jalin kerjasama konstruktif dalam hubungan antarabangsa- PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Jun– Malaysia akan terus menjalin kerjasama secara konstruktif dalam hubungan antarabangsa.

Ini terutamanya dengan negara Amerika Syarikat (AS), China, Kesatuan Eropah, India dan negara-negara lain dalam memperjuangkan kepentingan negara di peringkat antarabangsa.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dasar Malaysia yang berpendirian tidak berpaksi adalah satu pendekatan yang disengajakan serta berlandaskan prinsip.

"Dasar Malaysia yang mengamalkan pendirian tidak berpaksi secara aktif adalah satu kerangka yang disengajakan dan berprinsip.

"Ia bertujuan untuk memaksimumkan fleksibiliti strategik, memelihara autonomi dalam membuat keputusan, serta berinteraksi dengan semua rakan mengikut acuan kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Asia Pacific Roundtable ke-38, di sini hari ini.

Menurut beliau, Malaysia juga telah memperluaskan hubungan dengan rakan-rakan sehaluan di Selatan Global dalam usaha merapatkan hubungan serantau, membina tekad bersama dan memupuk kemakmuran sejagat.

“Fokus kita jelas, kerjasama yang pragmatik, terselaras dan berorientasikan tindakan. Semangat ini turut mendorong Malaysia untuk terus menggiatkan usaha ke arah keterhubungan dan kerjasama antara wilayah,” katanya.

Jelas Anwar, pendekatan ini bukan sahaja memacu pemerkasaan Selatan Global, malah turut mengukuhkan penyelarasan yang lebih erat dengan negara-negara di Utara Global.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM