KUALA LUMPUR, 19 Jun – Malaysia berhasrat meneroka bidang kerjasama khusus dengan rakan negara BRICS yang dapat memberi manfaat bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BRICS kini merupakan manifestasi sebenar kepada penyatuan wilayah dan kerjasama strategik pelbagai hala.
“Dakwaan bahawa penglibatan negara-negara Asia Tenggara dalam BRICS sebagai tanda memihak atau menjauhi kuasa Barat adalah pandangan yang bersifat reduksionis.
"Penyertaan ini adalah manifesti, autonomi dan keyakinan Malaysia terhadap kerjasama berterusan bagi menangani pelbagai cabaran global secara bersama,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Asia Pacific Roundtable ke-38, di ibu negara, hari ini.
Tambah beliau, kebangkitan semula BRICS yang kini merangkumi negara anggota dan rakan dari Timur Tengah, Asia Tenggara, Asia Tengah, Afrika dan Amerika Selatan adalah bukti penyatuan wilayah yang semakin kukuh.
“Ia merupakan peluang untuk membina bentuk kerjasama baharu serta memperbaharui hubungan sedia ada dengan semangat saling menghormati dan manfaat bersama,” jelasnya.
BRICS, yang pada asalnya dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, kini semakin berkembang dengan keanggotaan serta rakan kerjasama baharu, mencerminkan perubahan landskap geo-ekonomi global yang lebih pelbagai dan inklusif.