KUALA LUMPUR, 19 Jun - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan notis saman serta tindakan Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap dua pemandu bas yang dikesan memandu secara berbahaya.
Ketua Pengarah, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, dua kes itu dikesan secara berasingan dalam video yang tular di media sosial, membabitkan kenderaan pengangkutan awam yang memandu secara berbahaya di Lebuhraya Utara-Selatan selepas kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kulai arah utara serta sekitar Mersing, Johor.
Susulan itu, pihaknya telah menjalankan siasatan ke atas kedua-dua kenderaan berkenaan dan mengeluarkan notis saman (Notis JPJ P22) serta tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
"Sebuah bas melakukan kesalahan memotong secara berbahaya dan memandu di lorong kecemasan di Lebuhraya Utara-Selatan. Tindakan saman dikeluarkan mengikut Kaedah 6 dan Kaedah 53, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1956.
Sebuah lagi bas, pemandu dan pemilik kenderaan dikenakan Notis Temu Siasat (114) bagi tindakan lanjut berhubung kesalahan yang dilakukan di sekitar Mersing," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tegasnya, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kenderaan yang melanggar undang-undang jalan raya dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak terbabit.
"Pihak syarikat juga dinasihatkan untuk memantau etika pemanduan pemandu kenderaan masing-masing bagi memastikan tahap pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan," katanya.
Tambah beliau, JPJ turut berterima kasih kepada orang awam yang prihatin untuk melaporkan aduan berkaitan keselamatan jalan raya.
Katanya, pengguna jalan raya digesa untuk terus melaporkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas secara terus atau real time menggunakan Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel
Terdahulu, tular di TikTok, sebuah video memaparkan seorang lelaki dipercayai penumpang bas memarahi pemandu bas kerana didakwa memandu secara laju sekali gus menyebabkan penumpang terutama kanak-kanak ketakutan.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira 4 pagi ketika bas berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Mersing, Johor dan pemandu juga didakwa menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Individu itu turut memaklumkan pemandu terbabit sudah diberi nasihat dan teguran sebanyak dua kali namun tidak diendahkan.