AYER KEROH, 13 Mac- Bantuan untuk Orang Asli yang terjejas banjir di Pahang dan Johor akan digerakkan dengan segera.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sudah meminta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mengenal pasti jumlah sebenar Orang Asli yang terjejas banjir di dua negeri itu.
Katanya, bantuan yang akan disampaikan termasuklah perkakas rumah, barangan makanan dan lain-lain lagi mengikut keperluan mereka.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah menjelaskan bahawa kementerian menerusi JAKOA juga akan menjalankan kerja baik pulih infrastruktur dan jalan raya yang terkesan di kampung Orang Asli yang terkesan.
"Untuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) selain daripada bantuan yang diberikan oleh jawatankuasa bencana pusat di peringkat negeri dan daerah, saya akan meminta ketua pengarah JAKOA sendiri turun padang.
Bukan hanya infrastruktur dan jalan tetapi perkakasan rumah, pembaikan rumah perlu dilakukan dan Insya-Allah saya akan koordinasikan dengan JAKOA. Setakat ini, kita tidak dapat lagi jumlah rasmi untuk kita selaraskan bantuan kepada mereka," kata Zahid kepada pemberita RTM selepas Majlis Pengenalan Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.
(FOTO BERNAMA)
Bencana banjir yang berlaku di Johor dan Pahang turut melibatkan perkampungan Orang Asli di kawasan Kluang, Johor dan Rompin, Pahang.