fb fb fb fb fb

Malaysia teguh bantah usaha normalisasi rejim Israel

CYBERJAYA, 13 Mac- Naratif berkisar tentang Palestin perlu disampaikan dengan jelas bagi memastikan generasi kini memahami perjuangan membebaskan negara itu daripada kekejaman rejim Zionis Israel.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata masyarakat perlu terus menyokong dan membina kesepaduan mengangkat 'suara' pembebasan yang lebih efektif.

Langkah itu sekali gus membawa Palestin ke arah negara berdaulat selepas dijajah hampir satu abad.

"Aspek penting dalam perjuangan Palestin, yang pertama adalah moral dalam kalangan umat Islam itu sendiri harus cekal untuk memperjuangkan hak Palestin. Kedua, kita melihat antara cabaran paling besar dalam memperjuangkan perjuangan rakyat Palestin ini ialah dunia Islam itu sendiri yang sentiasa berpecah-belah dalam banyak isu-isu.

Saya fikir itu bukanlah tidak boleh menuju ke arah satu perpaduan tetapi saya fikir bahawa semua harus mainkan peranan sama ada pemimpin, rakyat dan setiap individu dalam negara harus memainkan peranan untuk menyatukan umat islam. Bukan sahaja umat Islam kerana kita tahu bahawa isu Palestin bukan hanya mengenai dunia Islam tetapi ia mengenai keamanan sejagat," kata Adly pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen Hari Al-Quds Sedunia 2023, di sini.


(Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari)

Tambahnya, Malaysia komited menolak segala usaha normalisasi dengan penjajah rejim zionis Israel terutama apabila tindakan rejim itu semakin agresif ke atas pencerobohan Masjid Al-Aqsa.

Satu sesi dialog bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan ahli parlimen akan diadakan pada 15 Mac ini, yang akan dipengerusikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Inisiatif itu antara lain bagi memberi peluang NGO mengemukakan pandangan dan cadangan kepada ahli parlimen untuk tindakan bersesuaian bagi menangani isu Palestin.

Media Baharu