KUALA LUMPUR, 13 Mac- Aplikasi 'MyCraftShoppe' (MyCraftShop) akan diperluaskan sebagai platform pemasaran digital antarabangsa.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Haji Ramli menyatakan sasaran itu bagi memperkasa pendapatan usahawan kraftangan tempatan.
Ia merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan melalui Kraftangan Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), selain penganjuran Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2023.
"HKK merupakan aktiviti pemasaran secara fizikal tetapi kami juga menyediakan inisiatif pemasaran secara digital di bawah platform MyCraftShoppe. Kita nak menggalakan lagi lebih ramai usahawan kraf kita mengguna pakai inisiatif yang disediakan.
Kita kini ke arah digitalisasi. Jadi, kita membantu usahawan-usahawan untuk mereka lebih mahir untuk menguruskan perniagaan mereka di platform yang kita sediakan," kata Ainu Sham kepada pemberita RTM selepas majlis Penyampaian Hadiah, Beli, Putar dan Menang sempena Hari Kraf Kebangsaan 2023, di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
(Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Haji Ramli)
Bagi menggalakan kehadiran orang ramai, 15 pengunjung bertuah yang telah membuat pembelian RM500 ke atas, diberi hadiah berupa barangan produk kraf, elektrik dalam konsep putaran cabutan bertuah.
Program yang dianjurkan buat kali ke-20 itu bermula pada 1 Mac lepas dan akan berlangsung sehingga hari ini.
Seramai 550 usahawan menyertai program tersebut dan disasarkan nilai jualan dapat mencecah RM16 juta.