fb fb fb fb fb

Ops Sapu: JIM Kelantan tahan 19 PATI termasuk tiga kanak-kanak

FOTO JIM KELANTAN

KOTA BHARU, 12 Mac- Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Kelantan menahan 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Ops Sapu di sekitar Kota Bharu dan Machang.

Pengarahnya, Mohd Faizal Shamsudin berkata, operasi yang bermula Ahad dan berakhir semalam itu berjaya menahan 14 lelaki, dua wanita dan tiga kanak-kanak terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, Kemboja, Mesir, Pakistan dan Syria.

Beliau berkata, bertindak atas hasil risikan Bahagian Penguatkuasaan JIM Kelantan, pemeriksaan terhadap warga asing dijalankan di sekitar bandar Kota Bharu iaitu antaranya di beberapa premis pasaraya dan kedai runcit di Kampung Perol.

Manakala di Machang pula, pemeriksaan membabitkan beberapa buah rumah pekerja ladang di Temangan, dan rumah teres di daerah itu.

"Kesemua PATI ditahan berumur antara 19 tahun hingga 55 tahun, manakala kanak-kanak  antara 7 tahun hingga 12 tahun kemudiannya dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

"Kesemua mereka yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,"katanya dalam kenyataan tersebut.

Mohd Faizal turut menggesa orang ramai agar tampil menyalurkan maklumat tentang PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi,memudah cara dan bersubahat dalam melindungi PATI.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE