fb fb fb fb fb

Ops Samba 2.0 kesan ketirisan cukai negara bernilai RM2 bilion

KUALA LUMPUR, 23 Mei - Seramai 23 anggota dan pegawai kastam akan didakwa bawah kesalahan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, di enam mahkamah sesyen seluruh negara sehingga 6 Jun depan.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, setakat ini dua pegawai kastam telah dituduh di mahkamah selepas ditahan menerusi Ops Samba 2.0.

"Ops tersebut yang berakhir 25 Mac 2024 menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bertugas di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang akhirnya telah berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion.

"Ini merupakan satu kerugian hasil negara yang amat besar dan memberi impak negatif berterusan kepada ekonomi negara sekiranya tidak dibendung," kata SPRM.

Dalam operasi itu, SPRM telah menahan 34 anggota dan pegawai dari gred 19 hingga 44 bersama-sama 27 individu serta pemilik syarikat dan hasil siasatan mendapati mereka bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup.

Selain itu Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM turut merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit. 

SPRM juga telah membekukan kira-kira 231 akaun bank milik individu, syarikat dan ‘akaun keldai’ berjumlah kira-kira RM18 juta yang terbabit dengan kegiatan sindiket penyeludupan itu.

Ops Samba 2.0 merupakan kerjasama antara SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memerangi aktiviti rasuah pegawai agensi penguatkuasaan yang melindungi aktiviti penyeludupan.

Customer Support