fb fb fb fb fb

Ops PaPa: 662 notis rokok dan vape dikeluarkan di Labuan

Majlis Perasmian Ops Selamat Paru-Paru (OPS PaPa) di Labuan

LABUAN, 27 September - Sejumlah 662 notis kesalahan dikeluarkan berkait rokok dan ‘vape’ dikesan di Labuan, sejak penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Oktober lalu.
 
Manakala 19 kertas siasatan dibuka libatkan kesalahan pengiklanan, penjualan dalam talian, penjualan rokok bawah umur serta kesalahan penjualan produk merokok bawah harga minimum.
 
Ia sebahagian langkah tegas dalam mengawal penjualan dan penggunaan rokok eletronik atau vape di wilayah itu.
 
Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh mendedahkan, sebanyak 212 notis peringatan larangan pameran produk rokok telah dikeluarkan kepada pemilik-pemilik kedai di pulau ini.
 
"Penguatkuasaan bagi kesalahan ini berkuatkuasa secara penuh pada 1 Oktober 2025 dan diharap tiada lagi kedai-kedai yang mempamerkan produk merokok secara terbuka.

"Operasi ini merupakan langkah signifikan untuk melindungi generasi kini dan generasi akan datang daripada bahaya merokok khasnya vape yang semakin berleluasa, selaras dengan hasrat kerajaan ke arah pengharaman penjualan dan penggunaan vape," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Ops Selamat Paru-Paru (OPS PaPa) di Labuan.
 
Ops PaPa libatkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta badan bukan kerajaan (NGO).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE