fb fb fb fb fb

Ops Cakna lindung pengguna daripada aktiviti ambil untung oleh peniaga tidak bertanggungjawab - KPDNHEP

HULU TERENGGANU, 16 Januari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan 262 notis pengesahan maklumat barangan membabitkan pemeriksaan 891 barangan di seluruh negara sejak 1 Januari hingga 15 Januari lalu.

Ia dilaksanakan dalam Ops Cakna bagi mengelak berlakunya aktiviti mengambil untung lebih oleh peniaga ketika permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tertentu meningkat selepas banjir.

Timbalan KPDNHEP, Dato’ Rosol Wahid berkata notis tersebut dikeluarkan kepada peniaga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP)2011.

Peniaga yang menerima notis perlu mengemukan maklum balas dan maklumat secara terperinci harga jualan kos barangan bagi menentukan sama ada wujud unsur pencatutan atau tidak.

Bagi barangan gantian kenderaan dan elektrik untuk mereka yang terkesan akibat banjir baru baru ini juga dinasihatkan mendapat perkhidmatan di bengkel kenderaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan.

"Apa yang saya mahu nasihatkan kepada mereka yang terlibat supaya pengguna putuskan dahulu jenis barang, harga upah dan sebagainya, sebelum mengambil apa-apa perkhidmatan," kata Rosol selepas mengadakan sesi perjumpaan bersama jurumandi jenazah di Hulu Terengganu.

Sementara itu, KPDNHEP turut menerima 167 aduan melibatkan aduan berkaitan makanan dan minuman, perkhidmatan, alat ganti kenderaan dan juga sayur-sayuran.

 

Media Baharu